Jumaat, 25 Mac 2016

Penyokong Kedah tolak 'salam perdamaian' Ahmad Bashah

Nampaknya tugas berat menanti tampuk kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), dengan pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai Presiden.

Bukan sahaja perlu memastikan prestasi Kedah yang semakin baik dapat diteruskan, malah yang lebih penting adalah menawan semula hati penyokong, kerana mereka merupakan nadi penting kebangkitan skuad Kedah sejak kebelakangan ini.

Melihat reaksi di penyokong di akaun Facebook rasmi KFA, dapat disimpulkan bahawa banyak yang perlu dilakukan Ahmad Bashah.

Mungkin kerana masih dibayangi kehebatan pengurusan terdahulu, sebahagian besar daripada peminat bola sepak negeri seolah-olah tidak yakin dengan kepimpinan baharu itu.

Dalam masa yang sama, penyokong juga mahu presiden baharu agar mengambil tahu dengan lebih mendalam tentang perihal bola sepak, dan tidak mencampuradukkan politik dengan bola sepak.

Kata mereka, sudah terbukti sebelum ini, hanya rasa kecintaan atau passion tinggi sahaja yang mampu membawa pasukan ke peringkat tertinggi.

Akaun Facebook kumpulan penyokong rasmi Kedah, Ultras Kedah 2009, pula tidak berselindung apabila terang-terangan menolak pelantikan Ahmad Bashah itu.

Dalam status yang dimuat naik semalam, kumpulan itu yang juga dikenali sebagai UK09 itu meminta agar kepimpinan yang baharu dilantik itu menilai dan mengkaji sebab mengapa beliau ditolak majoriti penyokong.

KFA semalam mengumumkan pelantikan Ahmad Bashah sebagai Presiden secara rasmi, selepas jawatan itu dikosongkan berikutan pengunduran bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Secara tradisinya, Menteri Besar Kedah secara automatik akan menjadi Presiden KFA.

Sumber : astro awani

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget