Rabu, 23 Mac 2016

Penyokong Helang Merah sukar terima Presiden KFA

Walaupun akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah nampaknya bukan senang untuk diterima penyokong pasukan itu.

Walaupun sudah hampir dua bulan Datuk Seri Mukhriz Mahathir meninggalkan kerusi menteri besar dan presiden KFA, aura yang ditinggalkan beliau masih terasa.

Bagi Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, penerimaan penyokong terhadap Ahmad Bashah dalam arena bola sepak Kedah mungkin mengambil masa yang lama.


"Dari aspek penerimaan mungkin agak lambat. Sebab ramai pihak begitu terkilan dengan cara pertukaran kuasa dilakukan.

"Mukhriz pada zamannya, beliau selalu turun padang melihat perkembangan barisan pemain dan beramah-mesra dengan penyokong-penyokong setia skuad Helang Merah," kata presidennya, Nor Hasmadi Hamzah.

Terdahulu Ahmad Bashah dilaporkan akanmengisi kekosongan jawatan presiden KFA yang ditinggalkan Mukhriz pada 3 Februari melalui EGM di Alor Setar, esok.

Patah tumbuh hilang berganti


Bagaimanapun Nor Hasmadi berkata, pihaknya melihat pelantikan Ahmad Bashah itu adalah satu perkembangan positif kepada KFA.

"Ibarat patah tumbuh hilang berganti. Mungkin berdasarkan pengalaman beliau mampu lebih banyak penaja yang sudi menaja pasukan dan menaikkan imej Kedah.

"Ini kerana, beliau atau sesiapa sahaja harus sedar bola sepak menjadi sukan nombor satu rakyat Kedah," katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Bashah.

Tambah beliau, apa yang disandarkan kepada Ahmah Bashah kini adalah kemampuan beliau untuk meningkatkan mutu dan pembangunan bola sepak di negeri jelapang padi itu.

"Jadi beliau perlu berusaha untuk mengambil hati semula penyokong Kedah dan melakukan usaha lebih baik daripada menteri besar terdahulu.

"Itu cabaran yang perlu beliau hadapi," jelasnya.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget