Jumaat, 4 Mac 2016

PBATM masih belum buat apa-apa bayaran

Sudah 18 hari berlalu sejak Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) mengadakan sidang media, berjanji untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji 15 bekas pemainnya, tetapi sehingga hari ini, penyelesaiannya masih tidak kelihatan.

Menurut bekas pertahanan skuad The Gladiators, K Reuben, PBATM masih belum membuat apa-apa pembayaran seperti dijanjikan sebelum ini biarpun mereka memberi tempoh untuk menyelesaikannya dalam 90 hari.

Malah katanya, bekas rakan sepasukan lain juga ternanti-nanti tunggakan itu yang turut membabitkan usaha Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Memang, sampai sekarang belum ada apa-apa perkembangan mengenai isu gaji kami. Semua bekas pemain masih menunggu dan kalau tak silap saya, mereka (PBATM) ada mengadakan perjumpaan dengan PFAM baru-baru ini.

“Mungkin pertemuan itu untuk membincangkan kaedah pembayaran. Selepas isu ini dirujuk kepada PFAM, mereka yang menguruskan hal berkenaan dengan PBATM.

“Tapi apa yang saya boleh kongsikan, memang sampai hari ini kami masih belum terima apa-apa pembayaran. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana membabitkan hak kami sebagai pemain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, PFAM mendedahkan nama tiga pasukan di Liga Malaysia yang masih ‘berhutang’ dengan pemain apabila gagal melunaskan gaji kira-kira RM4.32 juta bagi musim lalu.

Daripada jumlah RM4.32 juta itu, ATM mencatatkan tunggakan gaji tertinggi berjumlah RM3.7 juta diikuti Kelantan dengan RM400,000 dan FELDA United RM220,000.

Hasil pendedahan itu, Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberi tempoh 90 hari kepada kesemua pasukan berkenaan untuk melunaskan tunggakan itu.

Bagaimanapun, sekiranya pasukan berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab itu dalam masa ditetapkan, FMLLP akan memotong mata selain menyingkirkan mereka daripada saingan liga tempatan.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget