Dr Vida atau nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu akademi itu ditubuhkan menggunakan kaedah dan pendekatan yang dirancang sendiri bagi mencapai impiannya untuk membantu dalam pembangunan bola sepak negara.
Keputusan itu dibuat apabila Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ingin mendapatkan kerjasama dengan beliau memandangkan program terbabit turut melakukan perkara sama dalam melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berkualiti.
"Saya sedar PPBN menyatakan ia adalah membazir (mewujudkan akademi) kerana pusat akademi yang sama sudah wujud, tapi saya ingin mendapatkan kebebasan untuk menjayakan usaha ini.
"Jika kerjasama terjalin, sukar untuk saya membuat sebarang keputusan untuk membangunkan lagi akademi berkenaan.
"Saya perlukan acuan dan arahan daripada saya sendiri kerana mereka tidak tahu apa yang saya inginkan. Saya sudah membuat perancangan rapi untuk perkara ini supaya dapat membangunkan lagi pembangunan sukan bola sepak tanah air.
"Apapun, sekarang ini saya mahukan tapak, jurulatih dan pasukan sebagai permulaan untuk menjayakan akademi berkenaan. Saya akan intai pemain dari liga bawahan untuk diserap masuk selain mencari pemain luar untuk melengkapkan lagi akademi terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar yang sedia bekerjasama dengan akademi Dr Vida memandangkan pihaknya turut menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa untuk negara di setiap negeri.
Dalam pada itu juga, Dr Vida akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk membincangkan mengenai rancangannya untuk menubuhkan akademi terbabit.
"Saya ada dihubungi pegawai KAFA untuk mengadakan pertemuan di Perak dalam masa terdekat. Saya difahamkan mereka akan mencadangkan untuk saya membantu meneruskan Akademi Al-Hamra The Red Warriors (Army) yang sedia ada.
"Apapun keputusan nanti, saya mahu mereka ikut cara saya dan biar saya tentukan apa yang perlu dilakukan untuk akademi itu nanti," katanya.
Pada masa sama, Dr Vida juga akan berkongsikan semua idea yang diperoleh sepanjang lawatannya ke Eropah selama dua minggu yang berakhir kelmarin, dalam pertemuan terbabit.
"Apa yang saya perolehi ketika lawatan itu akan dibincangkan dengan KAFA supaya dapat diterapkan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
"Ia termasuk model Stadium Emirates, corak permainan pasukan Atletico Madrid, reka bentuk Stadium Santiago Bernabeu dan keperluan jurulatih khas untuk memberi kemahiran menggelecek bola kepada pemain.
"Saya akan membawa semua perkara itu kepada KAFA dalam masa terdekat nanti supaya ia dapat digunakan kepada PQPTRW," katanya.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan