Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dipetik menerusi laman sosialnya semalam membayangkan kemungkinan besar satu rombakan bakal dilakukan sebagai langkah terbaharu untuk memperkasakan kembali gergasi bola sepak pantai timur itu.
Malah Annuar sendiri sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada Ketua Jurulatih Kelantan, K Devan untuk menilai semula prestasi semua pemain termasuk awang import dalam pasukan mereka.
“Saya telah menghubungi K Devan dan memaklumkan bahawa beliau harus buat penilaian prestasi pemain. Beliau diberi kebebasan untuk menggantikan mana-mana pemain termasuk import.
“Beliau juga diberi kebebasan mencari dan memilih pemain untuk diganti. Pengurusan Kafa akan memberi segala kerjasama yang dia perlukan,” katanya.
Musim ini, Kelantan diperkuatkan tiga pemain import baharu iaitu Jonatan Lucca (Brazil), Blazhe Ilijoski (Macedonia), penjaring terbanyak Liga Super tahun lalu, Dramane Troare (Mali) selain mengekalkan tonggak pertahanan, Jonathan McKain dari Australia.
Difahamkan, ketiga-tiga awang import baharu itu dibawa masuk sendiri oleh Annuar berdasarkan rekod prestasi lampau tanpa perlu menjalani proses percubaan meskipun Kelantan menguji hampir 20 pemain asing dalam persiapan pra musim pasukan itu.
Bagaimanapun, hanya Ilijoski dilihat sedikit menyerlah apabila menjaringkan lima gol dalam aksi Liga Super dan kempen Piala FA manakala Troare sekadar mencetak satu gol ketika menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pertengahan Februari lalu.
Sebelum itu, Annuar dalam entri laman Facebook miliknya pada 21 Januari lalu, pernah menempelak segelintir penyokong Kelantan yang mengkritik cara beliau memilih pemain import untuk pasukan itu, pada musim ini.
Menurutnya, Kafa menggunakan kedua-dua kaedah iaitu melalui sesi pemilihan terbuka di Kota Bharu selain terdapat pemain tertentu yang disyorkan oleh ejen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dari seluruh dunia.
Sumber : sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan