Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkannya semalam, berkata pembayaran itu hanya membabitkan 14 bekas pemain ATM manakala seorang pemain dan bekas ketua jurulatih pasukan itu, B Sathianathan akan menerima bayaran kemudian.
Beliau berkata, bayaran untuk pemain dan jurulatih terbabit tidak dapat dilakukan minggu depan berikutan pihaknya masih mendapatkan maklumat terutama mengenai nombor akaun dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM).
"Kita sedang proses bayaran itu untuk 14 bekas pemain ATM terbabit dan ia dijangka dapat diselesaikan minggu depan. Kita akan kredit (memasukkan) bayaran ke akaun mereka.
"Cuma tinggal seorang pemain dan Sathianathan yang kita masih menunggu atau sedang mendapatkan maklumat mereka dari ATM," katanya.
Sementara itu, Sathianathan ketika dihubungi semalam berkata dia akan mengikut apa saja yang dilakukan FAM kerana percaya badan induk itu sedang cuba melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan kes terbabit.
"Kita ikut saja apa yang FAM sedang usahakan. Malah, saya percaya FAM akan mengotakan janji mereka untuk membantu saya dan pemain ATM menerima tunggakan gaji musim lalu," katanya.
Sebelum ini, FAM menerusi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Statusnya, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menjelaskan isu gaji 15 bekas pemain ATM dan Sathianathan akan diselesaikan badan induk terbabit menerusi pemotongan geran pasukan berkenaan.
Tindakan itu terpaksa dilakukan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan tunggakan gaji skuad The Gladiators itu.
Bagaimanapun, Aziz berkata penyelesaian itu hanya membabitkan Kontrak A - kontrak sah yang dihantar kepada FAM - dan dianggarkan membabitkan lebih RM400,000.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan