Jumaat, 26 Februari 2016

UiTM mahu teruskan momentum kemenangan

Pendahulu Liga Perdana, UiTM mahu meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Kuantan FA di Stadium Mini UiTM Shah Alam, petang ini.

Selepas melakar dua kemenangan berturut-turut dengan menumbangkan Sabah 4-1 pada aksi sulung liga 12 Februari lalu, rentak cemerlang itu diteruskan dalam aksi kedua dengan menumpaskan Perlis 1-0 di Kangar minggu lalu.

Namun dua kemenangan itu diragut oleh Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam kempen Piala FA apabila skuad The Lion Troops itu tewas besar dengan kekalahan 0-5.

Bagaimanapun, pengendalinya Raja Isa Raja Akram Shah langsung tidak gusar sebaliknya percaya momentum kemenangan mampu dicipta anak buahnya sekali gus memastikan pasukannya kekal di puncak liga.

“Pada awalnya kami langsung tidak diletakkan sebarang harapan tapi pemain saya berjaya membuktikan sebaliknya dengan memberi tentangan sengit kepada pencabar lain.

“Sememangnya kejayaan kami memimpin liga ketika ini cukup baik namun saya sentiasa ingatkan pemain supaya fokus dan cuba mempertahankan kedudukan ini lagipun perjalanan liga masih jauh.

“Apa-apa boleh berlaku, mungkin sekarang kami di atas mana tahu lepas ini kami di bawah pula. Justeru itu, saya ingatkan pemain jangan cepat selesa sebaliknya cuba raih tiga mata penuh setiap kali beraksi.

“Maka misi kami adalah mencatat kemenangan bertemu Kuantan lebih-lebih lagi kami akan bermain di tempat sendiri,” katanya yang mengambil alih tugas itu musim ini daripada jurulatih Azuan Zain.

Ujarnya lagi, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik dalam pertembungan itu bagi memastikan anak didiknya tidak kempunan mencatat tiga mata penuh.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget