Jumaat, 26 Februari 2016

K Devan tak endah kehendak Datuk Vida

Pengendali Kelantan K Devan membuat keputusan mengekalkan dua pemain importnya, Blazhe Ilijoski dan Dramane Traore pada pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kita Bharu, malam ini.

Devan berkata beliau tetap dengan keputusannya menurunkan dua pemain itu walaupun berdepan kritikan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemain import pada beberapa perlawanan sebelum ini.

"Mereka mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak boleh dinilai sesetengah pihak yang tidak memahami bola sepak. Jika pengkritik faham bola sepak, mereka tidak menilai pemain berkenaan menerusi dua atau tiga perlawanan sahaja.

"Tiada guna dua pemain import itu direhatkan selepas mengharungi dua atau tiga perlawanan kerana tindakan itu tidak boleh membantu meningkatkan corak permainan mereka jika hanya berada di bangku simpanan," katanya di Kota Bharu semalam.

Mengulas lanjut, Devan berkata beliau tidak akan tunduk terhadap desakan segelintir pihak yang mahu beliau merehatkan dua pemain import berkenaan.

Malah, Devan berkata semangat anak buahnya kini semakin membara untuk mengutip tiga mata penuh ketika beraksi di laman sendiri.

"Saya akui pada perlawanan sebelum ini, kita mempunyai sedikit masalah disiplin ketika bertemu UKM FC dalam saingan Piala FA Sabtu lepas kerana kami memandang mudah perlawanan itu dan ia menjadi peringatan kepada kami," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kelantan tidak memandang rendah keupayaan Sarawak walaupun skuad Bujang Senang itu tumpas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Kami tidak boleh lihat kepada kedudukan dan prestasi Sarawak dalam dua atau tiga perlawanan sebelum ini, walaupun pasukan itu sudah tiga kali tewas," katanya.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget