Ahad, 21 Februari 2016

Piala FA : Kesilapan bahagian pertahanan faktor kekalahan P.Pinang

Kesilapan di bahagian pertahanan menjadi antara faktor kekalahan Pulau Pinang ketika menentang kelab Kuantan FA pada pusingan kedua saingan piala FA yang berlangsung di Stadium Bandaraya di sini malam tadi.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang Jackson Farreira Tiago berkata terlalu banyak kesilapan berlaku di bahagian pertahanan pasukan Harimau Kumbang itu sehingga membolehkan pihak lawan membenamkan mereka 4-2, walaupun tuan rumah mempamerkan aksi yang baik sepanjang separuh masa pertama perlawanan.

"Finishing juga agak teruk... kita ada beberapa peluang pada separuh masa kedua namun gagal skor, jika tidak, pasti tidak akan bawa ke masa tambahan.

"Akhirnya pihak lawan berjaya skor sehingga empat gol dan ia bukanlah perkara biasa, kita harus ambil iktibar dan pengajaran (daripada perlawanan ini)," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini malam tadi.

Pemain yang mendapat perhatian dunia, Mohd Faiz Subri yang melakukan jaringan menarik pada saingan Liga Super menentang Pahang Selasa lalu, terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-32 akibat kecederaan pada kaki dan digantikan dengan pemain import Osas Marvellous Ikpefua.

Dalam saingan menentang kelab bimbingan Zulhamizan Zakariah malam tadi, Pulau Pinang yang mendahului dengan satu gol jaringan Mathias Cordoba pada minit ke-80 dikejutkan dengan aksi saat akhir yang menyaksikan Kuantan FA menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90 hasil jaringan Dao Bakary.

Pasukan Kuantan FA terus garang apabila menambah gol pada minit tambahan ke-105 melalui Nakata Shunsake diikuti jaringan ketiga oleh Abdul Malik Mat Arif pada minit ke-108.

Pulau Pinang yang beraksi dalam tekanan berjaya menambah satu gol, sekali lagi menerusi Cordoba pada minit ke-111, namun derita Harimau Kumbang bertambah apabila pemain Kuantan FA, Bakary menyumbat gol keempat kelab itu pada minit ke-114.

Sementara itu, Zulhamizan berkata anak buahnya telah mempamerkan aksi cemerlang dan memberikan komitmen 200 peratus dalam memastikan pasukan itu layak ke pusingan Piala FA seterusnya.

"Kita sedar tidak boleh memberi ruang di tengah untuk Pulau Pinang dan pemain berjaya menahan asakan Pulau Pinang di tengah dan percaturan malam ini dianggap berjaya.

"Untuk perlawanan akan datang, kita akan tengok yang cedera sebelum buat percaturan sebab malam ini mereka memberikan 200 peratus kudrat dan ada yang sudah kehabisan tenaga dan perlukan pemain simpanan untuk isi tempat," katanya.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget