Jumaat, 19 Februari 2016

Piala FA : Harimau Selatan ratah UITM FC

Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pusingan ketiga Piala FA dengan bergaya selepas membelasah kelab dari Liga Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM FC) 5-0 di Stadium UiTM, sebentar tadi.

Anak didik Mario Gomez hanya memerlukan 13 minit untuk berada di depan menerusi jaringan pemain berpengalaman, Amri Yahyah.

UiTM FC jelas bukan tandingan JDT apabila S Chanturu meledak dua gol pantas pada minit ke-32 dan 36 untuk meletakkan skuad Harimau Selatan selesa mendahului 3-0.

Bagaimanapun, juara Piala AFC musim lalu dilihat belum puas dengan kedudukan itu dan Amirul Hadi Zainal menambah luka UiTM menerusi gol keempat pada masa kecederaan babak pertama selepas menyudahkan hantaran Amri.

Malah tindakan Gomez yang memasukkan Pereyra Diaz, Safiq Rahim dan Juan Martin Lucero pada babak kedua membuktikan betapa dia masih menuntut permainan terbaik dari anak buahnya.

Usaha Gomez itu akhirnya berhasil apabila Diaz meledak gol kelima buat JDT menerusi rembatan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-70.

Lucero mensia-siakan peluang terbaik untuk menjaringkan gol keenam JDT selepas sepakan penalti yang diambil pada minit ke-86 berjaya diselamatkan penjaga gol UiTM, Pavel Matiash.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, malang menimpa Amirul Hadi apabila dia dilayangkan kad merah selepas mengasari Mohamad Adip.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget