Isnin, 22 Februari 2016

Piala AFC : JDT bakal janjikan pertembungan menarik

Johor Darul Ta'zim (JDT) bertekad membuka kempen mempertahankan Piala AFC dengan langkah kanan apabila melayan kunjungan kelab Myanmar, Ayeyawady United dalam aksi Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini.

Kapten JDT, Safiq Rahim, menyifatkan kemenangan pada aksi sulung di laman sendiri itu amat penting dalam membina keyakinan pasukan, apatah lagi, Harimau Selatan akan tampil memikul beban berat selaku juara bertahan.

"Walaupun kita pernah membelasah lawan 5-0 pada aksi 16 pasukan terbaik kalah mati musim lalu, itu sudah sejarah dan perlu lebih bersedia apabila berdepan lawan kali ini.

Paling mustahak, kita kena fokus dan tidak goyah.

"Lagipun, saya yakin lawan bukan seperti sebelum ini dan pasti tampil berbeza. Jadi, ia bakal menjanjikan pertembungan yang menarik," katanya selepas majlis perasmian restoran miliknya, SR8, yang dirasmikan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di sini.

Safiq berkata, prestasi JDT tampak berada di tahap memuaskan selepas mencatat dua kemenangan apabila menewaskan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Super dan menewaskan UiTM FC 5-0 pada pusingan kedua Piala FA, selain mengekalkan Piala Sumbangsih dengan menewaskan Selangor menerusi penentuan penalti.

"Jadi, moral semua pemain kini berada di tahap tinggi dan ia akan berterusan bagi memastikan momentum kemenangan tidak terjejas," katanya yang menjelaskan tidak diturunkan dalam dua aksi menentang TFC II dan UiTM FC kerana kecederaan dan pengendali JDT, Mario Gomez tidak mahu mengambil risiko.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget