Sabtu, 20 Februari 2016

Piala FA : Perlis berhempas pulas tundukkan FELCRA FC

Perlis terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke pusingan ketiga Piala FA dengan menundukkan pasukan kelab yang bersaing dalam Liga FAM, FELCRA FC 1-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, malam tadi.

Pasukan kendalian Dollah Salleh itu bermula garang apabila melakukan asakan demi asakan ke pintu gol pasukan FELCRA FC namun setiap serangan mudah diserap pelawat yang dibarisi kebanyakan pemain Perlis pada saingan Liga FAM musim lalu.

Perlis yang diperkuatkan dengan pemain import Mohamadou Sumareh yang tidak dapat diturunkan pada dua perlawanan Liga Perdana lepas, beraksi baik dan membuka ruang buat rakan sepasukannya menerusi hantaran dan percubaan menarik tetapi tetap gagal menghasilkan jaringan.

Gerakan penyudah yang tumpul dihidangkan kedua-dua pasukan mengakibatkan babak pertama berakhir tanpa sebarang gol.

Sebaik bermula babak kedua, Perlis meneruskan asakan ke gawang FELCRA FC sambil pelawat sesekali melakukan serangan balas menerusi penyerang utama, Faiz Mohd Nasir.

Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-71 apabila hantaran pemain gantian V Thirumurugan cuba ditanduk Alafi Mahmud sebelum pemain import dari New Zealand Vincent Kayne membuat tandukan yang menewaskan penjaga gol FELCRA FC Fakhrul Ikram Azahari.

Kemasukan pemain import Perlis Edward Junior Wilson pada hujung perlawanan juga banyak membantu tetapi tuan rumah tetap gagal menambah gol dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 1-0 hingga tamat

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget