Jumaat, 12 Februari 2016

MU turunkan barisan terbaik hadapi Sime Darby

Jurulatih Melaka United (MU), Mat Zan Mat Aris bakal menurunkan barisan terbaik bagi menghadapi Sime Darby FC pada aksi Liga Perdana di Selayang malam ini.

Tidak mahu lagi memikirkan senarai deretan pemain cedera, dia kini memfokuskan pertemuan berdepan lawan yang dilihat memiliki barisan mantap yang boleh menidakkan usaha pemainnya meraih tiga mata berharga.

Menurutnya, kemenangan 4-1 ketika berdepan lawan sama di Stadium Hang Jebat sebelum ini bukan lagi harus dibanggakan berikutan Sime Darby sudah bersedia sepenuhnya pada aksi malam ini.

Katanya, kemenangan terbabit amat berbeza berikutan ketika itu, Sime Darby masih menguji barisan pemain mereka, justeru tuan rumah bukan lawan mudah buat MU kali ini.

Namun dia yakin skuad yang diketuai kapten pasukan, Ilja Spasojevic (Spaso) yang juga bekas penyerang bawah 21 tahun Montenegro itu akan beraksi lebih baik dalam perlawanan berkenaan.

Baginya, sentuhan penyudah pemain yang mendapat jolokan 'Spasogoal' di Liga Indonesia menerusi 45 gol daripada 69 perlawanan itu mampu menyumbang sesuatu buat MU kali ini.

Malah tujuh gol hasil ledakannya sepanjang aksi persahabatan pra musim bersama MU antara gambaran reputasi gahnya yang mampu menyerlah di Liga Perdana musim ini.

Sementara itu, Spaso berkata dia yakin gabungan pemain muda dan berpengalaman skuad berkenaan mampu memberikan yang terbaik bagi memenuhi sasaran layak ke liga Super.

"Saya lihat skuad ini memiliki barisan yang bagus tambahan mereka datangnya dari kelab yang berbeza termasuk dari Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

"Sebagai kapten pasukan saya akan berusaha sebaik mungkin melonjak semangat pemain dan beraksi pada tahap maksimum untuk meraih kejayaan dalam perlawanan malam ini," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget