Rabu, 24 Februari 2016

MU fokus kukuh barisan pertahanan

Melaka United memberi fokus utama untuk mengukuhkan barisan pertahanan bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi pada awal permainan, kata Pengurus Pasukan Datuk Yusoff Mahadi.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United itu berkata langkah itu penting bagi memastikan pasukan itu tidak ketinggalan pada awal permainan, seperti terjadi dalam dua daripada tiga perlawanan awal musim ini, yang seterusnya menyukarkan Melaka mencatat kemenangan.

"Semua pemain terutama pertahanan perlu ambil langkah berjaga-jaga jangan kita kena gol awal, walaupun dah dipesan supaya bertahan pada minit-minit awal itu supaya jangan dibolosi tetapi tetap juga dibolosi.

"Jadi saya rasa itu kelemahan yang agak ketara pasukan kita selepas mengharungi tiga permainan, kita nampak bahawa pasukan kita dibolosi pada minit-minit awal, selepas itu baru mereka boleh memberi saingan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukan Melaka dalam tiga perlawanan awal musim ini, namun menegaskan pasukan itu perlu terus menunjukkan peningkatan.

Melaka mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sime Darby pada perlawanan pertama Liga Perdana dengan gawang Melaka bolos seawal minit ketiga, kemudian menang 2-1 menentang PKNS FC dengan gol Melaka mula dibolosi pada minit ke-49.

Pada perlawanan Piala FA, Sabtu lepas (20 Feb) menentang Kuala Lumpur, Melaka seri 1-1 dengan bolos seawal minit keempat dan kemudian tewas 2-4 menerusi sepakan penalti.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget