Isnin, 22 Februari 2016

Kelantan menelanjangkan kelemahan yang tidak sepatutnya

Di sebalik kemenangan tipis ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC dalam aksi pusingan kedua Superbest Power Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, Kelantan menelanjangkan kelemahan yang tidak sepatutnya mereka lakukan selaku pasukan berstatus finalis musim lalu.

Hakikat itu diakui sendiri Ketua Jurulatih Kelantan, K Devan apabila memberitahu, skuad bimbingannya belum mantap sepenuhnya terutama di posisi serangan yang dilihat cukup kritikal sehingga mengundang kemarahan penyokong mereka sendiri.

“Saya kena akui, jentera penggempur kita diterajui Dramane Troare dan Blazhe Ilijoski memang tumpul. Kita berjaya menghasilkan banyak peluang tetapi rangkaian penyerang ada masalah untuk menjaringkan gol dalam perlawanan malam ini.

“Nak siapkan satu pasukan mantap dalam semua aspek iaitu persefahaman, pertahanan dan serangan perlukan lebih banyak masa dan jika kita lihat di atas kertas, memang Kelantan ada pemain yang cukup bagus musim ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan.

Dalam aksi kalah mati itu, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-83 sebelum penyerang import gantian, Blazhe Ilijoski menanduk masuk gol kemenangan berpunca hantaran silang Wan Zack Haikal Wan Noor.

Menurut Devan, dia tidak mempunyai pilihan selain perlu bekerja lebih keras membina persefahaman di antara dua penyerang import itu sekiranya mahu memastikan pasukannya meraih keputusan positif dalam aksi seterusnya.

“Semuanya terpulang kepada dua penyerang itu, kita hanya boleh beri latihan, tetapi mereka sendiri kena berusaha mendapatkan keyakinan dan mengembalikan sentuhan penyudah baharulah prestasi masing-masing akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, pengendali berusia 54 tahun itu memberitahu, dia sangat lega biarpun pasukannya terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum mencatatkan kemenangan tipis ke atas kelab liga divisyen ketiga itu.

“Memang keputusan ini bukanlah seperti kita harapkan tetapi saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan tinggi pemain. Dari segi pertahanan pun saya berpuas hati, kita menguasai sebahagian permainan dan ada banyak peluang menjaringkan gol.

“Yang penting kita menang malam ini, bukan kita nak tengok (berapa) jaringan gol. Kalau kita menang 10-0 hari ini tetapi terkeluar pusingan ketiga pun tak guna juga. Janji kita layak dan saya harap ada peningkatan selepas ini,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget