Jumaat, 29 Januari 2016

Panas! Penyokong Selangor tidak puas hati pembahagian tiket Piala Sumbangsih

Perlawanan Sumbangsih antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya akan berlangsung 13 Februari ini, tetapi ia tampak sudah ‘panas’ apabila kelab penyokong Selangor tampil tidak berpuas hati dengan pembahagian tiket.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana, melahirkan kekecewaan berikutan pembahagian tiket yang disifatkan tidak adil selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) hanya meluluskan 200 tiket berbanding 500 tiket yang dipohon sebelum ini.

Katanya, PBNJ sewajarnya menambah kuota untuk penyokong pelawat yang akan turut memberi sokongan kepada pasukan Merah Kuning pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu.

“Sekurang-kurangnya berilah 500 tiket kepada kami (penyokong Selangor) untuk sama-sama memeriahkan aksi itu kerana bagi saya, 200 tiket yang diberi tidak adil untuk penyokong Selangor.

“Memang kecewa dengan situasi sekarang kerana jika hendak diikutkan, ramai yang mahu menyaksikan perlawanan terbabit, tetapi kami terpaksa hadkan kepada 500 tempat sahaja.

“Namun, selepas mendapat maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kami sekadar memperoleh 200 tiket sahaja dan ia memang tidak cukup,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam. Bagaimanapun, Haniff berkata, dia akan cuba merayu menerusi FAS untuk memohon 300 tiket tambahan daripada PBNJ.

“Saya merayu dan berharap supaya PBNJ dapat menambah kuota tiket sebab perlawanan ini bukan sahaja menawarkan trofi Piala Sultan Ahmad Shah tetapi tiga mata. Jadi, sudah tentu Selangor memerlukan sokongan penyokongnya,” katanya.

Menurutnya, jika rayuan mereka tidak diendahkan oleh pihak terbabit, penyokong Red Giants berkemungkinan terpaksa mendapatkan tiket di kaunter stadium dan tidak menolak kemungkinan langkah itu akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong tuan rumah.

“Mungkin ada pilihan lain jika rayuan kami tidak dipedulikan iaitu kami harus membeli sendiri tiket di kaunter tiket. Tetapi isunya di sini, kami tidak sempat mendapat tiket memandangkan perjalanan ke sana memakan masa dan kami juga hanya akan bergerak pada awal pagi pada hari perlawanan nanti.

“Jadi, kalau kami mendapat tiket tambahan itu, ia memudahkan penyokong untuk merancang perjalanan tanpa perlu tergesa-gesa ke sana semata-mata untuk mengejar tiket. Saya berharap rintihan kami ini dapat didengar,” katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget