Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan apabila ditanya apakah yang memberi inspirasi kepadanya untuk membina Bandar Sukan JDT, "Pertama sekali, saya sentiasa mahukan JDT tampil berbeza. Saya mahukan JDT mempunyai reputasi besar bukan sahaja melalui pasukan bola sepak tetapi juga dengan kemudahan-kemudahan utama kami."
"Kami mempunyai 70 ekar tanah. Jadi, saya telah mengambil keputusan untuk menggunakan 40 ekar tersebut untuk stadium, dan baki 30 ekar untuk pembangunan lain seperti hotel, pangsapuri, pusat membeli-belah dan tempat-tempat sukan lain termasuk padang ragbi, gelanggang tenis, gelanggang skuasy, gelanggang badminton, futsal padang, gelanggang bola keranjang dan kemudahan sukan lain." tambahnya.
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) ini menyatakan bahawa kemudahan-kemudahan ini akan dibuka kepada orang ramai supaya para penyokong kami dapat menikmati kemudahan tersebut.
Dan apabila ditanya apakah projek seterusnya, beliau seterusnya menjawab, "Saya sangat kompetitif. Saya suka apa yang saya lakukan untuk kelab dan rakyat Johor. Saya bukan jenis yang tidak menepati janji-janji saya."
"Saya bersyukur dengan segala keberkatan yang telah diberikan Allah SWT kepada saya, tetapi ia tidak akan bermakna apa-apa jika saya tidak berpeluang untuk berkongsikannya dengan rakyat saya dan penyokong JDT di seluruh negara."
"Saya tidak mempunyai masalah untuk melaburkan wang saya walau dimana jua dan menikmati nikmat kehidupan. Tetapi saya di sini melalui segala cabaran dan kritikan untuk mereka. Saya melakukan ini untuk rakyat Johor dan penyokong JDT. Senyuman mereka adalah motivasi terbesar saya."
TMJ berasa cukup baik dengan kelebihan yang telah JDT capai buat masa ini.
"Saya suka membuktikan kepada orang yang tidak percaya kami mampu mencapai sesuatu dan mereka silap. Saya berpuas hati di mana kita berada pada hari ini. Dunia mengenali JDT."
"Kami telah memenangi beberapa trofi. Kini fokus saya adalah untuk semua projek pembangunan JDT. Kemenangan bagi saya bukanlah mengenai sekadar memenangi perlawanan. Kemenangan bagi saya adalah untuk memiliki apa yang orang lain tidak memilikinya."
"Sudah tentu saya gembira." jawabnya setelah ditanya tentang pelancaran projek Bandar Sukan JDT pada sabtu ini.
Beliau berkata lagi, "Mengapakah ini sangat penting buat JDT? Ianya mudah. Anda boleh memenangi seberapa banyak trofi, tetapi orang akan lebih mengingati empayar pembangunan dan infrastruktur yang mereka tinggalkan. Ini bukan sekadar bercerita."
TMJ memberikan contoh, "Genghis Khan menakluki sebahagian besar jajahan di dunia, berbanding dengan empayar Rom dan Julius Caesar. Tetapi mengapakah orang masih mengingati atau mengenali empayar Rom lebih daripada Genghis Khan?"
Jelasnya, "Ini adalah kerana semua seni bina Rom dan bangunan mereka masih wujud hingga ke hari ini. Ia membuatkan amat mudah untuk mengingati dan mengenali empayar Rom. Itulah sebabnya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan JDT mempunyai infrastruktur bola sepak yang terbaik."
Akhir kata, "Dengan ini, saya berharap agar saya dapat meninggalkan warisan untuk generasi akan datang. Sesuatu yang mereka boleh banggakan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan