Jumaat, 22 Januari 2016

Bekas pemain Piala Dunia Afrika Selatan bakal sertai Terengganu

Peluang bekas tonggak skuad Piala Dunia Afrika Selatan, Katlego Mphela untuk menyertai Terengganu tampak cerah apabila diakui pamer peningkatan oleh pengendali skuad Peteh Ahmad Yusof.

Terengganu masih dalam pencarian pemain import keempat kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia.

Selepas membuat penampilan sulung ketika aksi persahabatan menentang UiTM FC Selasa lalu, Mphela diuji buat kali kedua bertemu Kuala Lumpur pada Khamis.

Dia bagaimanapun gagal menghasilkan gol dalam pertemuan itu, namun kelibatnya diakui belum mengecewakan walaupun skuad Penyu tewas 1-2.

“Ada peningkatan daripada perlawanan pertama. kami masih ada satu lagi perlawanan menentang PDRM di mana kami akan beri peluang kepada Mphela.

“Kami mahu lihat bagaimana dia sesuaikan diri dengan pemain-pemain lain,” kata Ahmad Yusof.

Untuk rekod, Mphela meledak 23 gol untuk 53 penampilan bersama skuad Bafana-Bafana.

Ketika Piala Dunia 2010, dia muncul wira ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menerusi gol kedua untuk kemenangan 2-1 ke atas Perancis.

“Saya suka cabaran baru dan saya mampu pamerkan aksi baik bawah tekanan.

“Saya harap pengalaman ini akan membantu karier saya sebagai pemain profesional,” kata Mphela.

Saingan Liga Malaysia yang akan membuka tirai 30 Januari ini, disusuli saingan Liga Perdana pada 12 Februari, dan sehari kemudian, Liga Super akan berlangsung.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget