Selasa, 29 Disember 2015

TS Annuar pelawa individu berminat ambil alih jawatan Presiden KAFA

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempelawa individu yang berminat mengambil alih jawatannya memimpin badan induk itu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuka bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mampu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi KAFA setiap kali menghadapi musim Liga Malaysia (Liga M) yang semakin kompetitif.

“Saya menetapkan pendirian dengan menawarkan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menggantikan tempat saya supaya individu berkenaan mampu mengangkat KAFA lebih tinggi daripada yang saya mampu lakukan.

“Saya perlu jujur. Keupayaan saya hanya mampu mencari sekadar RM5 juta hingga RM6 juta, namun jika lebih daripada jumlah itu saya tidak mampu. Ini kerja sukarela untuk memajukan bola sepak Kelantan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Kongres KAFA kali Ke-61 di sini, hari ini.

Annuar menjawat jawatan Presiden KAFA sejak 2007 dan pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum jawatan digantung selama 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sejak 4 April 2012 selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa izin badan induk itu. Mengulas lanjut, Annuar berkata, jika tiada individu tampil dan berani menerima tawaran itu, beliau tidak akan sesekali meninggalkan KAFA begitu sahaja.

“Saya tidak mahu usaha saya selama ini terkubur begitu sahaja. Saya akan berusaha sedaya mampu dalam membawa The Red Warriors (TRW) kekal sebagai pasukan pencabar kejuaraan untuk musim depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget