Terdahulu, nama Zainal disebut-sebut untuk menggantikan jurulatih skuad Gergasi Merah, Mehmet Durakovic sebagaimana bekas pemain Selangor itu dilaporkan telah bersetuju secara lisan untuk membimbing juara 33 kali Piala Malaysia tersebut.
Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berdepan dilema apabila sebahagian pemain mendesak agar mengekalkan khidmat Durakovic yang masih memiliki baki kontrak setahun selepas menandatangani perjanjian tiga tahun pada 2013.
Ini kerana barisan pemain skuad Gergasi Merah masih menaruh keyakinan terhadap kredibiliti Durakovic yang berjaya merealisasikan ‘Misi 33’ selain membantu juara dua kali Liga Super itu menamatkan kemarau trofi dalam tempoh lima tahun.
Mengulas mengenai situasi tersebut, pengurus Selangor, Amiruddin Shari (gambar) dilihat lebih berminat untuk mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ tetapi pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa pengurusan tertinggi FAS bakal mengumumkan status jurulatih selewat-lewatnya pada Ahad minggu depan.
“Spekulasi itu adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak tetapi sebenarnya kita telah lama membuat keputusan (berhubung status jurulatih). Cuma masih belum membuat sebarang penetapan untuk keputusan tersebut.
“Bukan sahaja status jurulatih tetapi status pengurus pasukan ini juga masih belum terjawab kerana saya menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan. Jika mereka masih mahu saya meneruskan tugas itu, saya tiada masalah.
“Cuma mengenai status jurulatih, saya fikir Presiden FAS merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang lebih sesuai untuk menjawab persoalan ini. Apa pun, akan berlaku satu mesyuarat khas untuk status jurulatih pada minggu depan.
“Apa yang saya dapat sahkan adalah status pemain-pemain import Selangor akan terjawab pada minggu ini tetapi status jurulatih (sama ada Mehmet dikekalkan atau pelantikan jurulatih baharu) bakal terjawab. FAS akan mengumumkan nama jurulatih itu selewat-lewatnya Ahad minggu depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Seperti dilaporkan sebelum ini, masa depan Durakovic masih menjadi tanda tanya meskipun beliau berjaya membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia ketika menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Ekoran kejayaan tersebut, pengurusan tertinggi dikatakan bakal membuat ‘pusingan U’ dengan keputusan awal mereka iaitu melantik Zainal sebagai jurulatih baharu Selangor tetapi keadaan tersebut menjadikan FAS dalam dilema sama ada untuk memberikan kepercayaan kepada Durakovic atau sebaliknya.
Sumber : kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan