Khamis, 31 Disember 2015

Sebab mengapa JDT 50 langkah di hadapan

ASALAMUALAIKUM kepada para penyokong bolasepak Malaysia sekalian. Hari ini saya lihat di akhbar dilaporkan bahawa JDT sudah 50 langkah di hadapan pesaingnya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan sebab mengapa saya membuat kenyataan sedemikian.

Biar saya berkongsi sedikit pengajaran berkenaan sejarah dan realiti kepada para penyokong bolasepak Malaysia…

Semua pasukan di Malaysia seperti Selangor, Pahang, Kedah, Terengganu, Perak dan Felda, adalah pasukan-pasukan yang baik. Semua pasukan tersebut mempunyai pencapaian yang hebat.

Secara perbandingan, JDT adalah pasukan yang masih mentah. Saya mengambil alih Johor FC dan Johor FA, dan menggabungkannya di bawah satu organisasi, iaitu kelab JDT yang ada pada hari ini.

Semasa saya mula mengambil alih, saya telah mengadakan satu mesyuarat bersama Peter Kenyon (bekas CEO Manchester United dan Chelsea), Peter Lim (pemilik Valencia), Jorge Mendez (ejen Cristiano Ronaldo dan juga pemain handalan lain seperti DiMaria, selain ejen bagi Jose Mourinho) dan salah seorang pengarah sukan bagi kelab Atletico Madrid.

Saya berterima kasih kepada mereka semua, kerana JDT kelab yang seperti kenali hari ini adalah disebabkan mengikuti nasihat yang mereka berikan. Anda mungkin legenda bolasepak di Malaysia, tetapi di manakah kedudukan anda dalam bolasepak di mata dunia?

Dengan segala hormatnya, para penyokong bolasepak Malaysia sekalian. Pengalaman dan pencapaian adalah sejarah. Inovasi dan kebolehan kita untuk berubah mengikut peredaran zaman yang akan meletakkan kita di kalangan yang terbaik di dunia.

Dahulu saya mahu mengubah polisi FAM dan membasmi korupsi didalamnya, tetapi tidak berjaya. Jadi saya katakan kepada diri saya sendiri, jika saya tidak mampu mengubah cara FAM, saya akan mengubah bolasepak Johor.

Secara tidak langsung, untuk bersaing dengan Johor, para pesaing kita juga perlu berubah. Itu juga secara tidak langsung menjadikan bolasepak Malaysia semakin Maju.

JDT adalah satu-satunya kelab yang mempunyai stadiumnya sendiri, kita mempunyai padang latihan bagi pasukan senior dan belia, kita berusahasama dengan gergasi Jerman Borussia Dortmund, kita mempunyai fasiliti yang canggih, dan pembinaan stadium dan akademi baru kita akan bermula pada 1hb Februari 2016.

Oleh yang demikian, seperti yang anda dapat perhatikan, apabila kita mempunyai perancangan, kita akan laksanakan. Kita tetapkan polisi yang tidak berubah-ubah, tidak kiralah siapa pun yang memimpin kelab. Itulah dinamakan kestabilan. Kita laksanakan visi kita.

Berbalik kepada kenyataan “JDT sudah 50 langkah di hadapan”, saya berkata demikian kerana JDT berjaya mencapai semua ini dalam masa yang singkat, walaupun belanjawan kita adalah lebih kecil berbanding pesaing gergasi kita.

Itu menunjukkan kita menggunakan wang kelab secara berhemah dan bebas daripada korupsi, seperti menyalahgunakan wang kelab untuk kepentingan peribadi. Tuan-tuan dan puan-puan, itulah faktanya. Didiklah diri anda berkenaan bolasepak Malaysia.

Kelab-kelab anda diuruskan oleh ahli politik. Sesetengah daripada mereka mungkin tidak ada lagi selepas lima tahun. Polisi anda telah berubah-ubah selama 30 tahun. InsyaALLAH, saya akan berada di sini untuk tempoh yang lama, dan polisi Johor akan kekal stabil.

Sesetengah ahli politik tidak mampu menguruskan negara dengan baik, jadi bagaimana anda hendak mengharapkan mereka menguruskan sebuah kelab bolasepak?

Saya juga berdoa agar anda mempunyai ketua yang akan menetapkan polisi yang stabil di kelab anda. Itulah sebabnya saya mengatakan kita sudah 50 langkah di hadapan.

Sekarang sudah 60 langkah di hadapan, kerana saya telah menjelaskan semuanya kepada anda. Dengan segala inovasi dan pencapaian yang telah JDT capai, saya masih belajar, dan berminat untuk terus belajar.

Walau apapun, saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda semua. Anda pesaing saya, bukan musuh saya. Marilah kita lakukan apa yang termampu untuk memartabatkan bolasepak Malaysia, kerana kita mempunyai badan induk pentadbir yang tidak membantu meningkatkan tahap bolasepak negara.

Akhir kata, kepada para penyokong JDT sekalian, marilah kita sentiasa bersyukur dan merendah diri.



Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget