Khamis, 31 Disember 2015

Belanja besar boleh takluki Liga M?

Pasukan bola sepak tempatan kini sibuk mengemaskini skuad masing-masing bagi mengharungi musim depan. Ada yang mahu berbelanja kecil, ada yang kekurangan modal dan ada pasukan yang diam-diam sahaja.

Musim 2015 menyaksikan pasukan gergasi seperti JDT munjuarai Liga Super dan Piala AFC, Lions XII menakluk Piala FA dan Selangor meraih misi kejuaraan kali ke-33 Piala Malaysia.

Persoalannya, adakah perbelanjaan yang dilakukan akan menjanjikan kecemerlangan pasukan itu?

Melabur untuk memiliki pemain hebat peringkat tempatan dan pemain asing menjadi lumrah dalam mana-mana pasukan bola sepak untuk mendapat khidmat pemain berkualiti tinggi berbanding pasukan lain.

Walaupun hanya di peringkat tempatan, persaingan itu diutamakan bukan sahaja untuk meraih kemenangan tetapi penting untuk kita melihat mutu pesembahan sesebuah pasukan tersebut.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B. Sathianathan, selain perbelanjaan besar, amalan pengurusan profesional adalah paling utama dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan.

"Jika sesebuah pasukan mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk memiliki pemain terbaik dan jurulatih hebat, belum tentu akan berjaya jika pengurusan gagal.

"Punca pengurusan gagal itu biasanya wujud campur tangan tertentu dalam mengurus perjalanan pasukan. Ia akan berkait, misalnya seorang pegawai yang tidak mahir dalam taktikal menggunakan pengaruhnya melebihi jurulatih.

"Individu tersebut campur tangan dalam hal-hal pemilihan pemain misalnya, ia akan menjejaskan pasukan," katanya kepada Malaysiakini.

JDT berjimat kali ini

Mengambil contoh beberapa pasukan seperti JDT yang dilihat berbelanja besar sebelum ini katanya, pasukan itu turut diseimbangkan dengan pengurusan profesional sekaligus membawa mereka di peringkat lebih tinggi.

"Sekiranya satu pasukan itu tidak mengeluarkan dana besar, tetapi pengurusan cekap tanpa campur tangan orang yang ada kepentingan mereka juga boleh meraih kejayaan.

"Perkara seumpama itu sentiasa berlaku sekiranya ada pihak yang mempunyai pengaruh dan kepentingan sendiri dalam sesbuah pasukan," jelasnya.

Dalam perkembangan terkini menyaksikan JDT mengambil sikap merendah diri dan berjimat dalam soal perbelanjaan mereka.

Malah, Penaung Diraja persatuan Bola Sepak negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tindakan pengurusan JDT membawa masuk pemain import dari Brazil, Paulo Ranger berjaya menjimatkan RM17 juta perbelanjaan pasukan itu.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pula dilaporkan memerlukan dana RM12 juta untuk muncul sebagai pasukan kuat musim depan, namun mereka kini digambarkan kekeringan modal selepas kerajaan negeri tidak memberi sebarang peruntukan.

Sementara itu, juara Piala Malaysia 2015, Selangor disuntik dana sebesar RM23 juta daripada kerajaan negeri bagi pembangunan bola sepak negeri itu termasuk untuk perkembangan bakat pemain muda.

Sumber : N Faizal Ghazali

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget