Marcote yang menyertai pasukan Kedah pada April lalu terpaksa membuat keputusan yang sukar baginya kerana perlu pulang ke Sepanyol.
Bekas penolong jurulatih Atletico Madrid itu berjaya membawa Kedah ke pentas final ketika memangku tanggungjawab jurulatih berikutan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan pro di China.
Kepintaran Marcote mengemudi skuad Helang Merah tidak dapat dinafikan kerana skuad itu berjaya menewaskan dua pasukan Liga Super di peringkat suku dan separuh akhir Piala Malaysia sebelum mereka tewas dalam perlawanan akhir kepada Selangor.
"Saya memang sedih untuk meninggalkan pasukan Kedah sayangkan hubungan dengan pemain, pegawai dan juga ribuan peminat setia. Setakat ini saya pasti 90 peratus kemungkinan saya tidak akan kembali bersama pasukan Kedah lagi untuk tahun depan.
"Saya akan meninggalkan Kedah untuk pulang ke Sepanyol pada Rabu. Kepulangan ini mungkin akan membuatkan saya tidak kembali lagi, ia bukan kerana kontrak tidak disambung tapi saya rindukan isteri dan anak yang berada di Madrid.
"Apa sekalipun, ketika berada di Kedah, saya telah menimba banyak pengalaman dan berkenalan dengan ramai orang yang akan tetap menjadi kawan sehingga bila-bila, apa yang saya lakukan ini adalah atas kehendak diri saya sendiri," jelasnya.
Marcote berharap namanya akan menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Kedah dan inilah juga kenangan manis dalam kerjayanya sebagai jurulatih profesional.
"Saya berasa senang bertugas dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana mereka mudah berunding dan menjaga kebajikan saya ketika berada di Kedah selama lapan bulan. Saya yakin Kedah bakal menjadi kuasa bola sepak Malaysia dalam jangka masa terdekat.
"Saya cukup teruja membimbing barisan pemain muda Kedah yang sentiasa dahagakan ilmu bagi meningkatkan mutu permainan dan memantapkan lagi prestasi pasukan demi mencapai matlamat majikan beraksi di Liga Super musim depan.
"Ketika bersama pasukan ini, saya berjaya memungut dua pingat iaitu ketika menjuarai Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia musim ini yang mungkin sukar dicapai oleh jurulatih lain dari luar negara," ujar Marcote.
Sumber : mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan