Jumaat, 11 Disember 2015

Final Piala Malaysia : Lengkap misi 33 Selangor atau bangkitnya bola sepak Kedah

 

Ketika Kedah menjulang Piala Malaysia 2008 selepas menewaskan Selangor 3-2, kapten Kedah Khairul Helmi Johari baru bergraduasi daripada skuad Piala Presiden Kedah.

Kapten Selangor, Shahrom Kalam pula sedang menimba pengalaman di kelab Shahzan Muda FC selepas bergraduasi daripada Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur.

7 tahun kemudian pada tahun 2015, kedua-dua pemain ini bakal melangkah ke final Piala Malaysia pertama dalam karier mereka sebagai kapten pasukan. Dan mereka bakal menggalas tugas berat.

Shahrol Kalam akan memimpin barisan Selangor yang kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada 10 tahun lepas, iaitu pada tahun 2005.

Semboyan misi 33 sudah lama dibunyikan tetapi hanya pada tahun ini, barulah mereka mempunyai peluang untuk menyempurnakan misi tersebut.

Khairul Helmi pula akan memimpin generasi baru pemain Kedah yang sedang melalui era kebangkitan.

Sehingga kini, Kedah sentiasa dibayangi kejayaan era double treble mereka pada 2007 dan 2008.

Ia sejarah yang unik dan sukar dilupakan dalam bola sepak Malaysia. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab Khairul Helmi untuk menulis sejarah baru untuk Kedah.

Ulangan final Piala Malaysia 2008


Perlawanan Sabtu ini bukanlah kali pertama Kedah dan Selangor bertemu di pentas final Piala Malaysia. Mereka pernah bermain di pentas final Piala Malaysia 2008.

Ketika itu, Kedah sedang berada di puncak kejayaan mereka. Mereka baru sahaja memenangi 5 piala dalam masa kurang 2 tahun.

Kejayaan menewaskan Selangor dalam final Piala Malaysia 2008 bererti mereka akan muncul satu-satunya pasukan tempatan yang berjaya memenangi kejuaraan treble – juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia – buat dua kali berturut-turut.

Selangor pula pada ketika itu hanya merupakan bayang-bayang pasukan Selangor yang pernah menjulang 32 trofi Piala Malaysia. Mereka masih pasukan yang kuat tetapi bukan lagi pasukan dominan di Malaysia.

Kedah menang pertarungan taktikal


Di bawah kendalian Dollah Salleh, Selangor muncul sebagai pasukan yang gemar menyerang. Mentaliti menyerang mereka sangat tinggi sehinggakan Indra Putra Mahyudin bermain sebagai pemain tengah dalam sistem 4-4-2 Dollah Salleh.

Ketika itu jentera serangan Selangor diketuai oleh duo penyerang berbisa, Frank Seator dan Safee Sali.

Turut membantu mereka berdua adalah Elie Aiboy di sayap kanan dan Amri Yahyah di sayap kiri.

Kedah yang dilatih oleh Azraai Khor Abdullah tampil dengan pelan permainan yang ringkas tetapi efektif untuk menangani bahaya jentera serangan Selangor – serap tekanan dan lancarkan serangan balas.

Rancangan Azraai Khor berjaya.


Ketika Selangor sedang sibuk menyerang jentera pertahanan Kedah yang diketuai oleh Victor Andrag dan Cornelius ‘Outlaw’ Huggins, jentera tengah dan serangan Kedah sentiasa bersedia melancarkan serangan balas.

Nelson Sam Martin mempunyai ruang yang besar di tengah untuk merancang serangan balas. Skil gelecekan dan kelajuan Khyril Muhymeen merupakan mimpi ngeri kepada Razman Roslan dan Evans Chisulo.

Fizikaliti dan kebolehan Marlon Alex James menghubungkan jentera serangan dengan tengah sentiasa memberi masalah kepada Selangor.

Meskipun Selangor mendahului 1-0 melalui jaringan jarak dekat Frank Seator, pelan taktikal Kedah yang bijak memberi 3 gol pantas untuk Kedah menamatkan separuh masa pertama dengan jaringan 3-1.

Marlon Alex James, Nelson Sam Martin dan Fadly Baharom mencatat nama sebagai penjaring gol Kedah. Meskipun tidak menjaringkan gol, Khyril Muhymeen memberikan servis cemerlang sebagai pasangan serangan Marlon.

Selangor bangkit pada separuh masa kedua melalui gol ke-2 jaringan Safee Sali, tetapi takdir seakan sudah menentukan malam itu adalah malam untuk pemain dan penyokong Kedah.

Kedah berjaya mempertahankan trofi Piala Malaysia mereka dengan menewaskan Selangor 3-2.

Kedah – kilang penghasil pemain muda berkualiti


Dominasi Kedah terhadap bola sepak Malaysia sangat kuat sehinggakan ia mendorong FAM untuk mengharamkan polisi pengambilan pemain import.

Kedah mungkin terkesan dengan polisi FAM tersebut. Tanpa pemain import berwibawa, mereka hilang daripada radar bola sepak Liga Super. Tetapi itu tidak bermakna Kedah kekeringan pemain muda yang berbakat.

Kedah merupakan negeri paling prolifik dalam aspek penghasilan pemain muda yang berkualiti. 4 pemain mereka yang bermain dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia berusia 22 tahun ke bawah.

Cuma untuk berjaya, pemain muda Kedah memerlukan kekayaan pengalaman yang ditawarkan pemain import mereka.

Sebab itulah, apabila FAM membenarkan semula polisi pengambilan pemain import, bola sepak Kedah menikmati era kebangkitan mereka semula.

Selangor – gergasi yang sedang membina legasi


Selangor pula mungkin bukan ‘gergasi’ seperti dulu. Tetapi kekayaan sejarah bola sepak Selangor merupakan aset mereka paling berharga.

Setiap pemain yang menyarung jersi Selangor tahu apa erti kemenangan kepada penyokong Selangor.

Mereka mungkin bukan pemain yang menikmati gaji tinggi di Malaysia, tetapi semangat mereka untuk meraih kemenangan adalah antara yang tertinggi.

Dengan barisan pemain yang kurang terkenal, Selangor masih mampu menduduki tangga ke-2 Liga Super dan layak ke final Piala Malaysia 2015.

Menentang Kedah pada Sabtu ini, Selangor tahu status mereka sebagai pasukan elit Liga Super tidak membawa apa-apa makna.

Tetapi sekurang-kurangnya, status mereka sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia akan membakar semangat untuk melengkapkan misi 33 mereka.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget