Ahad, 13 Disember 2015

Final Piala Malaysia 2015 : Misi 33 Selangor tercapai

Selepas edisi 2005, Piala Malaysia kini kembali ke negeri Selangor buat kali ke-33 apabila skuad itu mengatasi Kedah dengan meyakinkan pada perlawanan akhir, sebentar tadi.


Dalam aksi di Stadium Shah Alam itu, skuad The Red Giants tidak perlu menunggu lama untuk menggamarkan stadium apabila Ahmad Hazwan Bakri meledakkan gol pertama pada minit keempat hasil hantaran pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula.

Tertinggal satu gol, Kedah tetap melawan dengan semangat kental dan berhasil menguasai bola dengan serangan bertali arus yang dicipta melalui jentera tengah mereka.

Namun, anak buah Tan Cheng Hoe gagal memanfaat beberapa peluang, malah tampil tumpul di posisi serangan.

Sementara itu anak didik Mehmed Durakovic dilihat lebih mendominasi serangan balas dengan pantas sebaik bola di kaki mereka.

Keadaan padang yang becak mungkin menyebabkan perlawanan sedikit terganggu dan rentak pemain kedua-dua pasukan dilihat terpaksa dilakukan dengan lebih berhati-hati.

Walaupun cuaca hujan, kehangatan kemuncak buruan piala paling berprestij di tanah air tetap tergambar di atas padang.


Penjaga gol dibuang padang


Ia antara lain tergambar melalui empat kad kuning dilayangkan pengadil di separuh masa pertama susulan kekasaran yang berlaku.

Menjelang separuh masa kedua, Kedah yang cuba mengatur kembali rentak permainan dikejutkan dengan gol kedua Selangor.

Larian pantas Ahmad Hazwan di kiri padang gagal dipatahkan pertahanan Kedah sekali gus dirembat deras membolosi gawang skuad Hijau Kuning.

Mendung berwajah di riak muka penyokong Kedah apabila pasukan mereka ketinggalan 0 - 2, manakala sorakan gemuruh bergema di bahagian tempat duduk penyokong tuan rumah.

‎Tenyata taktikal Selangor lebih berkesan apabila mereka berjaya merantai penyerang berbisa lawan - Chidi Edeh dan Badrol Bakhtiar - yang sentiasa menanti umpanan daripada rakan-rakan.

Minit ke-83 menjadi detik mengecewakan buah Helang Merah selepas penjaga gol mereka, Mohd Firdaus Muhamad dikenakan kad merah susulan kesilapan menahan bola dengan tangan di luar petak penalti.

Keputusan 2 - 0 kekal hingga wisel penamat. Dan Selangor boleh tersenyum puas kerana penantian Misi 33 mereka berakhir malam ini.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget