Khamis, 9 Februari 2017

Selangor ingin lebur rekod tanpa tewas JDT

Pasukan Selangor berharap dapat meleburkan rekod tanpa tewas skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin dalam saingan Liga Super sejak musim 2013.

Sebagai rekod, JDT kini bagaikan ‘harimau terluka’ selepas harapan untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia buat pertama kali terkandas pada pusingan playoff susulan kekalahan 0-3 kepada wakil Jepun, Gamba Osaka kelmarin.

Situasi tersebut menyebabkan pengurus skuad Gergasi Merah, Abdul Rauf Ahmad menyuarakan sedikit keyakinan bahawa anak-anak buahnya berupaya untuk mencipta kejutan menjelang aksi penting menentang JDT di ge­langgang keramat pasukan lawan, Sabtu ini.

“Secara jujur, saya tidak menafikan JDT merupakan pasukan yang sangat bagus dan memiliki rekod cemerlang di Larkin. Cuma, kekalahan pada saingan playoff Liga Juara-Juara selain perjalanan pulang dari Jepun mungkin akan menjejaskan sedikit emosi dan fizikal mereka nanti.

“Justeru, saya harap situasi tersebut akan memberi kelebihan buat anak-anak buah saya yang dahagakan kemenangan terutama selepas tewas kepada PKNS FC minggu lepas. Bagaimanapun, kami per­lu bersikap realistik dan andainya gagal mencatat kemenangan, satu mata juga boleh dianggap kejayaan buat kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas mengharungi pelbagai kontroversi sebelum memulakan kempen Liga Super, semangat skuad Merah Kuning di bawah pengendali baharu, P. Maniam tetap tidak terpadam, malah menerima pujian kerana berani mempertaruhkan pemain muda meskipun keputusan yang dicatat tidak begitu konsisten dalam tiga perlawanan pertama sebelum ini.

Bagaimanapun, Abdul Rauf yang juga merupakan bekas pemain Selangor era 90-an tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya, khususnya beberapa pemain muda yang menunjukkan persembahan cemerlang seperti Adam Nor Azlin dan Mohd. Syahmi Safari.

“Saingan baharu saja bermula tetapi tidak salah untuk menya­takan yang saya cukup berbangga dengan komitmen pemain saya setakat ini terutama pemain-pemain muda seperti Adam dan Syahmi. Ada beberapa lagi pemain Piala Presiden yang diserap­kan ke skuad utama bakal diketengahkan nanti.

“Selain itu, saya juga berpuas hati dengan aksi pemain import, khususnya Forkey Doe yang sentiasa bekerja keras pada sesi latihan dan kini mula menunjukkan aksi konsisten.

“Saya ada berbincang dengan jurulatih (Maniam) dan mungkin perlawanan menentang JDT nanti akan menjadi aksi pertama kami meletakkan kesemua empat pemain import dalam kesebelasan utama. Juliano Mineiro yang diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan lepas berjaya memberi impak positif,” jelasnya lagi.

Sumber : kosmo


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget