Rabu, 1 Februari 2017

Isu MARA : Penajaan TRW tidak terjejas

Tan Sri Annuar Musa yang diarahkan untuk bercuti sementara sebagai Pengerusi MARA tidak akan menjejaskan tajaan tokoh itu terhadap pasukan bola sepak Kelantan musim ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor berkata, isu itu tidak membabitkan The Red Warriors (TRW) kerana tajaan diterima dari syarikat Kumpulan Al Hamra dan RedONE Malaysia.

Malah katanya, perkembangan terbaru itu juga tidak akan memudarkan semangat TRW untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim, Sabtu ini.

Beliau berkata, urusan penajaan pasukan sentiasa dibuat secara profesional berasaskan pertimbangan komersial serta tidak membabitkan pihak tertentu dalam MARA.

“Sebelum ini, Kolej Masterskill pernah menjadi penaja tapi tiada timbul sebarang isu.

“Bahkan Open University Malaysia (OUM) pernah berbincang untuk jadi penaja namun KAFA tolak kerana ‘bertembung’ dengan Masterskill pada masa itu, selain penajaan KAFA jauh lebih murah berbanding penggunaan media lain (untuk promosi).

“Kami di KAFA terbuka menerima perkara ini dan menghormati keputusan dibuat. Cuma berharap siasatan secara telus dilakukan bagi mengelak timbulnya persepsi dan tanggapan negatif terhadap penajaan daripada Annuar kepada KAFA,” katanya.

Ismail juga menyeru penyokong Kelantan untuk terus memberi sokongan padu kepada pasukan itu dan Annuar selaku penaja utama mereka dalam menyelamatkan KAFA.

Annuar sebelum ini muncul penyelamat KAFA apabila menjadi penaja utama bagi mengelak pasukan itu menarik diri daripada Liga Malaysia.

Tajaan awal bernilai RM6 juta diberikan menerusi dua syarikat, Kumpulan Al Hamra dan RedONE Malaysia, namun terdapat dakwaan mengatakan sumber tajaan itu daripada anak syarikat MARA dan UniKL.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget