Khamis, 23 Jun 2016

Import baharu dalam radar Melaka United akan terus diuji

Dua pemain import baharu dalam radar Melaka United akan terus diuji pada baki dua perlawanan persahabatan sebelum ia dimuktamadkan selewat-lewatnya bulan depan.

Pemain pertahanan Tudose dari Romania, Alexandru Tudose, 29, dan Yasihir Pinto, 25, yang merupakan bekas penye­rang bawah 20 tahun Chile akan dinilai secara terperinci sebelum pihak pengurusan Bola Sepak Melaka United (MUSA) membuat keputusan mendapatkan khidmat mereka.
Melaka United akan menilai prestasi Tudose (kiri) dan Pinto pada dua aksi persahabatan sebelum menyenaraikan mereka dalam skuad Sang Kancil.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain itu sebelum ini telah diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Se­langor di Shah Alam pada Sabtu lalu bagi melihat persembahan dan keserasian mereka.

“Bagi dua lagi baki perlawanan, kita akan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 25 Jun dan Pahang, 2 Julai depan.

“Kita akan menyerahkan tanggungjawab kepada ketua jurulatih (Mat Zan Mat Aris) untuk membuat penilaian sebelum dibentangkan kepada Pre­siden MUSA, Datuk Seri Idris Haron.

“Sekiranya Mat Zan berpuas hati dengan persembahan ke­dua-dua pemain tersebut, persiapan untuk menandata­ngani kontrak akan dilaksanakan dengan­ segera bagi mengelak mereka dipancing pasukan lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.

Menurut Mohd. Yusoff, antara kriteria utama yang menentukan posisi mereka dalam skuad itu ialah kemahiran dan keserasian.

Katanya, sekiranya dipilih, kehadiran Pinto dan Tudose diharap dapat memberi impak positif buat skuad Sang Kancil dalam menghadapi kempen Piala Malaysia dan baki Liga Premier, sekali gus merealisasikan sasaran pasukan itu ke Liga Super tahun depan.

Beberapa pemain tempatan antaranya Faris Danial, Reeshafiq Alwi serta Ahmad Khuzaime telah dipilih untuk mengisi bahagian tengah dan serangan dalam membentuk barisan lebih mantap sebelum aksi bersambung seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi saingan Piala Malaysia, Melaka United diundi berada dalam Kumpulan C bersama Felda United, Terengganu dan Negeri Sembilan. Kita melihat peluang adalah sama rata ke­cuali Felda United berdasarkan prestasi mereka di carta Liga Super ketika ini.

“Kita harap kemasukan pemain-pemain baharu yang di­pilih oleh Melaka United ini dapat memberi kejutan buat pasukan lawan,” katanya.

Tambah Mohd. Yusoff, skuad bimbingan Mat Zan telah memulakan latihan sebelah malam sejak seminggu lalu bagi memastikan stamina serta ketahanan mental dan fizikal pemain kekal pada tahap terbaik.

Sumber : kosmo

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget