Bagi pengendali dari Argentina itu, walaupun Johor DT menang 1-0 pada aksi pertama, beliau menganggap kedudukan mereka belum selesa kerana masih ada baki 90 minit yang menjadi penentu siapa bakal layak ke separuh akhir.
Justeru, beliau mahu setiap pemain Johor DT diturunkan supaya kembali fokus untuk memburu kemenangan.
“Walaupun kami pernah tewaskan PDRM dua kali pada Liga Super dan terbaru suku akhir pertama Piala FA, saya tidak anggap pertemuan malam esok (ini) tugas mudah,” katanya.
Menurutnya, beliau berasa lega kerana beberapa tonggak seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Fadhli Shas, S Kunanlan, Amri Yahyah, Nazrin Nawi dan Izham Tarmizi Roslan sudah kembali menjalani latihan sejak kelmarin, sekali gus memberi ruang kepadanya untuk mengenal pasti kesebelasan terbaik.
“Agak malang Junior Eldstal terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika latihan. Malah, saya juga belum pasti sama ada mahu menurunkan Aidil Zafuan kerana turut mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan,” katanya.
Apa yang diharapkan Gomez, skuad bimbingannya mampu melakar kemenangan apatah lagi memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan PDRM kendalian Fauzi Pilus itu bakal tampil dengan corak permainan berbeza bagi memastikan kemenangan.
“Kami tidak boleh leka atau terikut-ikut rentak permainan mereka. Kemungkinan PDRM akan mengambil kesempatan untuk menidakkan kemenangan yang kami impikan.
“Saya optimis Jorge Diaz dan Juan Lucero akan membentuk kombinasi mantap di posisi serangan serta pantas mengambil kesempatan menjaringkan gol jika memiliki peluang terhidang,” kata Gomez.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan