Jumaat, 15 April 2016

Perbahasan kemerosotan bola sepak Malaysia hanya buang masa

Perbahasan mengenai kemerosotan sukan bola sepak negara yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya membuang masa jika tidak disusuli dengan tindakan lebih serius untuk menangani masalah terbabit, kata pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, perbahasan yang dicadangkan itu tidak akan ke mana-mana andai panel hanya 'menggunakan mulut' tanpa mengambil langkah pembaikan.

"Ramai anak muda yang dilihat kurang berpengalaman dan pengetahuan suka membincangkan hal-hal berkaitan bola sepak kerana keinginan mereka untuk meningkatkan mutu sukan itu di negara ini.

"Namun, jika sekadar guna mulut tidak akan ke mana kerana ia perlu disusuli dengan melaksanakan input perbahasan itu. Ramai orang boleh bercakap itu dan ini, namun tiada langkah pembaikan yang diambil oleh mereka. Kita boleh lihat apa yang kita peroleh sekarang.

"Bagi saya apa yang kita perlukan ialah satu kajian lebih menyeluruh punca masalah dan mengatasi masalah itu supaya kita dapat semula mutu permainan seperti yang kita capai suatu ketika dahulu.

"Kita perlukan tindakan dan bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja. Jika perbahasan sekadar mengeluarkan pendapat tanpa apa-apa langkah penyelesaian, tidak ada gunanya perbahasan itu," katanya.

Beliau mengulas cabaran Tunku Ismail kepada beberapa individu penting dalam bola sepak negara untuk mengadakan perbahasan secara langsung di televisyen berkaitan kemerosotan mutu sukan itu di Malaysia.

Antara individu yang disenaraikan Tunku Ismail untuk perbahasan itu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM); jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee; Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan.

"Pada hemat saya, setakat ini skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik 1972 menjadi aras penentu tertinggi buat bola sepak negara dan tiada lagi yang dapat menghampiri pencapaian terbabit kecuali skuad Sukan Olimpik Moscow 1980..

"Jadi, kita perlu melihat apakah faktor yang membolehkan kita meraih kejayaan itu dan layak ke Jerman. Meskipun tewas, barisan pemain 1972 sudah mencapai kelas mereka yang tersendiri," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget