Sabtu, 5 Mac 2016

Sarawak, Perak dan Selangor terima padah gara-gara penonton

Sarawak, Perak dan Selangor dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini, gara-gara tindakan liar penyokong mereka pada aksi Liga Super musim ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, FAM mengumumkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), masing-masing didenda sebanyak RM25,000, selain bakal beraksi dalam di laman sendiri tanpa kehadiran penyokong.

FAS dikenakan hukuman itu selepas penyokong mereka didapati membakar mercun, melontar objek ke atas balapan stadium dan melontar batu ke arah bas pasukan FELDA United selain kereta pegawai perlawanan.

Hukuman beraksi di laman sendiri tanpa penyokong membabitkan dua perlawanan iaitu menentang Kedah dan Terengganu FC II.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pula dikenakan hukuman itu akibat insiden kekecohan yang berlaku di luar Stadium Perak selepas perlawanan Liga Super antara pasukan tuan rumah dan Selangor berakhir, pada 19 Februari lalu.

Hukuman beraksi di stadium kosong bagaimanapun ditangguhkan dan hanya akan dikuat kuasakan serta merta jika kesalahan sama berulang dalam tempoh enam bulan.

Persatuan Bola Sepak Selangor dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000, akibat tindakan penyokong mereka membakar suar ketika perlawanan Piala FA menentang Air Asia FC di di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 19 Februari.

Sementara itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Amirul Hadi Zainal digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah akibat melakukan kekasaran ke atas pemain UiTM FC pada aksi Piala FA, 19 Februari lalu.

Dia bakal terlepas aksi menentang Negeri Sembilan dan PDRM.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget