Sabtu, 5 Mac 2016

Piala FA : Barisan pertahanan leka punca Kelantan mendahului

Kelekaan barisan pertahanan pada separuh masa pertama memberi peluang kepada Kelantan menjaringkan gol awal pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, kedua-dua pasukan bermain dalam keadaan tempo tinggi dan sedikit kesilapan oleh pemain boleh menyumbang gol kepada lawan.

Beliau berkata pemainnya memberi fokus 100 peratus sehingga 120 minit masa perlawanan dan melakukan pelbagai percubaan yang hampir menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan itu.

"Tahniah kepada penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang terbukti mengekalkan status sebagai penjaga gol nombor satu negara ini, kerana dia berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dari Kedah.

"Persaingan memang hebat dan penentuan gol penalti berpihak kepada kita (Kedah)," katanya pada sidang media malam tadi yang menyaksikan Kedah menang 5-4 ke atas Kelantan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Cheng Hoe berkata, pihaknya juga menjangkakan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors itu akan bermain dengan agresif pada malam tadi, selepas tewas 1-2 kepada pasukannya dalam saingan Liga Super, Selasa lepas.

Selain itu, beliau kecewa selepas beberapa pemain melakukan kesilapan mudah serta membantah keputusan pengadil, dan mereka boleh dilayangkan kad kuning dan merah yang boleh menggagalkan strateginya.

Ketua pasukan, Khairul Helmi Johari berkata semua pemain menunjukkan komitmen dan mental yang tinggi berhadapan dengan pasukan Kelantan dan sentiasa menasihatkan pemain muda untuk fokus dalam perlawanan.

"Dalam padang saya akan bimbing pemain muda untuk lakukan yang terbaik dan fokus untuk menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan K.Devan berkata beliau akur selepas pasukannya gagal untuk ke peringkat suku akhir selepas tewas menerusi penentuan penalti itu.

"Mereka bermain cukup baik dan kita juga berjaya perbaiki kesilapan lepas. Kita tahu corak permainan pasukan Kedah dan kita terpaksa rancakkan perlawanan dengan menguasai bola," katanya.

Katanya pujian turut diberikan kepada Khairul Fahmi yang berjaya menyelamatkan percubaan daripada pihak lawan.

Kedah mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menundukkan Kelantan dengan penentuan penalti 5-4 menerusi sepakan Sandro da Silva, Carlos Eduardo, Mohd Shafiq Ahmad, Bang Seungwhan dan Liridon Krasniqi.

Jaringan penalti Kelantan pula dilakukan oleh Jonathan Mc Kain, Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal dan Jonatan Lucca, manakala sepakan penalti terakhir Kelantan oleh Mohd Khairul Izwan yang tersasar.

Kelantan mendahului dengan gol Jonathan Mc Kain pada minit ke-34 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-46 menerusi Khairul Helmi Johari.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget