Rabu, 24 Februari 2016

Hodak kembali bimbing Kelantan?

Bekas pengendali Kelantan, Bojan Hodak, mengakui sedia untuk kembali membimbing skuad jaguh Pantai Timur itu atau mana-mana pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Pengakuan jurulatih berusia berusia 44 tahun itu harus tambah 'memanaskan' lagi kedudukan beberapa jurulatih Liga M, yang kini sedang bergelut dengan masalah prestasi skuad kendalian masing-masing.

Jurulatih Kelantan, K Devan mungkin yang paling 'panas' dengan pengakuan terbuka Hodak itu tatkala khabar angin yang tersebar ketika ini bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disebut-sebut akan menggantikan tempatnya jika beliau gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Bagaimanapun, Devan boleh menarik nafas lega seketika kerana jurulatih dari Croatia itu mengesahkan belum menerima sebarang tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk komen kerana tiada sesiapa (dari KAFA) yang menghubungi saya setakat ini.

Saya sedia membimbing mana-mana pasukan jika mendapat tawaran yang baik daripada pasukan terbabit," katanya.

Seperti dilaporkan sebelum ini, tindakan penaja utama skuad PQPTRW, Datuk Hasmiza Othman memuat naik status dan gambar Hodak yang dipetik dari Facebook penyokong mencetuskan tanda tanya sama ada jurulatih itu bakal dilantik pengendali baharu Kelantan.

Anak didik Devan dilihat masih bergelut di awal musim ini selepas sekadar meledak dua gol dalam tiga perlawanan dan hampir diaibkan pasukan 'pelajar universiti' UKM FC pada pusingan kedua Piala FA, Sabtu lalu.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget