Mohd Azinee Taib yang menyerlah dalam siri perlawanan persahabatan JDT sebelum ini bermula di posisi sayap kiri. Amirulhadi Zainal pula diberi kepercayaan mengemudi jentera tengah bersama Hariss Harun.
4-4-1-1 JDT vs 4-3-3 Muangthong United
Seperti biasa, JDT bermula dengan formasi 4-4-1-1, dengan Safiq Rahim berfungsi sebagai attacking midfielder di belakang penyerang tunggal, Jorge Pereyra Diaz.
Di bawah kendalian jurulatih baru, Muangthong masih meneruskan legasi taktikal mereka dengan formasi 4-3-3. 2 pemain baru yang dipinjam dari BEC Tero, Chanatip Songkrasin dan Tanaboon Kesarat bermula dalam kesebelasan utama.
Chanatip dan Tanaboon berpasangan dengan chief playmaker, Sarach Yooyen dalam trio enjin tengah. Penyerang utama mereka, Cleiton Augusto bermula di sayap kiri untuk memberi laluan kepada penyerang baru, Gledionor ‘Negrao’ Figueiredo yang beraksi sebagai penyerang tunggal.
Muangthong buka kunci JDT dengan Sarach
20 minit pertama perlawanan berlangsung tanpa sebarang insiden menarik dengan kedua-dua pasukan agak berhati-hati ketika mengatur serangan.
Bagaimanapun Muangthong masih mampu mencipta beberapa peluang gol. Dan paling menarik, hampir kesemuanya datang dari hantaran diagonal Sarach yang menjadi fulkrum serangan pasukannya.
Hantaran Sarach menguji bek kanan, kiri JDT
Dengan JDT yang membiarkan Sarach mempunyai masa dan ruang dengan bola dan lebih berminat membentuk unit ‘two banks of four’ yang kompak di kawasan kubu sendiri, jelas JDT mahu mengecilkankan ruang dan menyusahkan kerja trio Negrao, Cleiton dan Thitiphan Puangjan.
Organisasi defensif JDT sangat bagus pada separuh masa pertma sehingga Chanatip Songkrasin terpaksa turun ke bawah untuk mengutip bola. Chanathip langsung tidak mempunyai ruang untuk berpusing badan selepas menerima bola kerana pantas diasak Hariss dan Amirulhadi.
Muangthong tiada cara lain untuk menyerang selain mengharapkan hantaran diagonal Sarach kepada Cleiton di sayap kiri dan Thitiphan di kanan. Tetapi bek kanan dan kiri JDT, S. Kunanlan dan Fazly Mazlan tiada masalah menangani mereka.
Azinee paling menyerlah
Dalam sidang media pre-match, Mario Gomez ada menekankan JDT perlu bersabar ketika mengatur serangan. Dan itulah tema utama serangan JDT.
Mungkin mengetahui kualiti serangan balas pantas yang dimiliki Muangthong, Gomez tidak mahu pasukannya hilang bola ketika melancarkan serangan.
Cuma apabila pasukan anda ‘bersabar’ ketika melancarkan serangan, transisi serangan menjadi perlahan dan pertahanan lawan mempunyai masa untuk menyusun organisasi pertahanan mereka semula.
Oleh itu, JDT memerlukan pemain ‘istimewa’ untuk membuka kunci organisasi pertahanan Muangthong. Pada separuh masa pertama, pemain tersebut adalah Azinee Taib.
Larian direct Azinee beserta dengan keagresifannya untuk menewaskan bek kanan Muangthong, Piyaphon Phanitchakun kerap memberi peluang kepada JDT, tetapi final delivery beliau (sama ada untuk cross, shoot atau pass) masih boleh diperbaiki.
Satu lagi pemain JDT yang menghasilkan detik istimewa adalah Mahali Jasuli. Rembatan jarak jauhnya pada akhir separuh masa pertama hampir-hampir mencemaskan 15,000 penyokong Muangthong.
Diaz tak selesa
Satu lagi tema serangan JDT semalam adalah ketidakselesaan Jorge Pereyra Diaz bermain sebagai penyerang tunggal.
Kerap kali serangan Johor mudah dipatahkan kerana:
1. Diaz yang gemar datang dekat untuk menerima bola, sedangkan beliau perlu membuat off the ball movement untuk membuka ruang kepada pemain JDT lain.
2. Apabila Diaz menerima bola, beliau tidak mempunyai sesiapa untuk dihantar (kurangnya larian sokongan daripada Safiq, Azinee dan Mahali Jasuli)
Anda tak boleh menyalahkan Diaz 100% kerana itu adalah instinct semulajadi dan gaya permainan Diaz. Beliau sesuai bermain sebagai penyerang sokongan, tetapi bukan sebagai penyerang utama.
Chanathip mengganas
Pada separuh masa kedua, Muangthong bagaikan pasukan berbeza. Tempo hantaran mereka menjadi semakin pantas.
Negrao yang menjadi ‘tunggul’ pada separuh masa kedua menjadi lebih dinamik dan mobil. Ini menyebabkan JDT mula hilang bola di kawasan sendiri – terutamanya Amirulhadi – dan membuka ruang kepada Chanathip untuk menerima bola di kawasan berbahaya.
Selepas peluang keemasan Thitiphan pada minit 52 yang disia-siakan, Chanathip mencipta siri-siri situasi kelam kabut di kawasan tengah dan sayap kanan JDT.
Ketika inilah, Muangthong mula mempamerkan potensi jentera serangan mereka pada tahap sebenar.
Siri serangan Muangthong
Cleiton mempunyai 2 peluang keemasan untuk membuka akaun golnya pada minit 67 dan 75 tetapi tersasar. Negrao sendiri mempunyai 2 peluang cantik, hanya untuk dikecewakan oleh aksi hero Farizal Marlias.
Tak keterlaluan untuk kita mengatakan Farizal bertanggungjawab memastikan perlawanan kekal 0-0 selepas 90 minit, kerana beliau juga cekap menepis keluar long shot Sarach pada minit 77 dan tandukan jarak dekat Cleiton 3 minit kemudian.
Muangthong kejar gol
Pada masa tambahan, Muangthong berusaha mencari gol dengan beralih dari formasi 4-3-3 kepada 3-4-3.
Biarpun JDT mempunyai Safee Sali yang baru dimasukkan, potensi serangan balas JDT boleh dikatakan hampir tiada. Safee dan Diaz mudah dirantai oleh 3 pertahanan tengah Muangthong dalam situasi 3 lawan 2.
Tak cukup dengan pertukaran formasi dan taktikal, Muangthong turut memasukkan Teerasil Dangda sebagai usaha untuk menyemarakkan serangan, biarpun beliau sebenarnya perlu berehat 1-3 minggu kerana masalah kecederaan.
Tetapi pertahanan JDT kental bertahan sebelum dikecewakan dengan nasib malang dalam penentuan sepakan penalti.
Sumber : semuanyabola
Tiada ulasan:
Catat Ulasan