Pemain yang berasal dari Montenegro itu berkata peningkatan dari segi keserasian barisan pemain MU memberi semangat kepadanya untuk bermain dengan lebih cemerlang dan terus yakin menggalas tugas sebagai kapten pasukan.
"Pasukan MU semakin lama semakin bagus, semua pemain menunjukkan permainan yang terbaik, ini membangkitkan semangat kepada saya untuk menjaringkan lebih banyak gol pada liga musim ini.
"Bagaimanapun, banyak perkara yang perlu dilakukan dan ditambah baik bagi memastikan pasukan ini mampu melangkah lebih jauh iaitu ke Liga Super," katanya yang fasih berbahasa Indonesia dan Melayu kepada Bernama di sini.
Spasojevic, 28, bekas penyerang bawah 21 tahun Montenegro, mula bermain dalam Liga Indonesia dengan menyertai Bali Devata pada 2011 sebelum menandatangani kontrak bersama MU pada Disember tahun lepas.
Ketajaman penyudah pemain yang mendapat jolokan 'Spasogoal' daripada media Indonesia itu terbukti apabila menjaringkan 45 gol daripada 69 perlawanan ketika mewakili lima pasukan dalam liga negara tersebut.
Ditanya mengenai keserasian dirinya sendiri dengan pemain pasukan MU, Spasojevic berkata dirinya tiada masalah komunikasi dengan pemain tempatan mahupun pemain import.
"Komunikasi dengan pasukan berjalan lancar kerana saya sudah lima tahun di Indonesia dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Indonesia juga Melayu, pemain tempatan juga boleh bercakap bahasa Inggeris jadi komunikasi tiada masalah.
"Sedikit kesulitan itu semestinya ada namun kita berusaha untuk mantapkan keserasian dan kesefahaman, kita juga perlu waktu untuk lagi rapat tetapi dengan beberapa perlawanan persahabatan yang dijalankan ini menunjukkan kami semakin serasi dan bekerjasama antara satu sama lain," katanya.
Selain beliau, Melaka United mempunyai tiga lagi pemain import musim ini iaitu pemain pertahanan Shin Jae-Pil dari Korea Selatan; dua pemain tengah iaitu Labinot Harbuzi (Sweden) dan Balsa Bozovic (Montenegro).
Sumber : bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan