Amaran keras itu diberikan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (gambar) atau Dr Vida terhadap mereka yang cuba meniru jersi keluarannya termasuk logo rasmi atau nama produk seperti Pamoga.
Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu memaklumkan, beliau terpaksa bertegas mengenai perkara berkenaan kerana tidak mahu imej syarikatnya tercemar jika disalahgunakan.
Dr Vida berkata, walaupun jersi keluarannya belum berada di pasaran, langkah awal perlu diambil bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Katanya, atas alasan itu, pihaknya tidak mempamerkan jersi terbaru PQPTRW di mana-mana laman sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak mahu perkara berkenaan terdedah.
“Saya akan lancarkan dua versi jersi dengan 20,000 helai akan dikeluarkan untuk edisi pertama pada 12 Februari nanti.
“Jersi tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan tempat sendiri. Jersi merah jambu-hitam dan biru-putih putih pula akan digunakan di tempat lawan,” katanya.
Berikutan kenyataan pengasas Qu Puteh itu, ia sekali gus menamatkan spekulasi kononnya Dr Vida bercanggah pendapat dengan pengurusan KAFA mengenai penggunaan warna jersi PQP TRW musim ini seperti dilaporkan dalam laman sosial.
Dr Vida dijangka hadir buat pertama kali di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, untuk menonton perlawanan persahabatan Kelantan bertemu Kuala Lumpur pada 2 Februari selain menyaksikan sesi memperkenalkan pemain Kelantan oleh Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa.
Dalam perkembangan sama, Dr Vida akan menyarankan kepada KAFA supaya jaring gol ditukar daripada warna putih kepada merah jambu.
Dr Vida berkata, beliau agak tertarik dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang turut menukarkan warna jaring gol mereka kepada merah dan biru iaitu warna asas skuad Harimau Selatan itu.
Katanya, penukaran warna jaring gawang itu mungkin tidak salah kerana sedondon dengan stadium dan juga jersi pasukan, bahkan, bakal tampak ceria dan semangat sebaik dipancarkan dengan lampu limpah merah jambu.
“Apapun, ia bergantung kepada keputusan KAFA dan PSK (Perbadanan Stadium Kelantan) sama ada dibenarkan atau tidak penggunaan warna merah jambu untuk jaring gol, tapi saya rasa tiada masalah.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan