Keputusan itu diambil selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan awal minggu lalu.
Menurut sumber, keputusan itu diambil selepas Megah Perawan berpendapat syarikat berkenaan tidak memiliki persediaan mencukupi dan penelitian mendalam dalam bidang sukan.
Kata sumber itu, syarat yang dikemukakan PKNS FC juga dianggap kurang menguntungkan Megah Perawan sebagai penaja.
Pada masa sama, katanya, aksi di Liga Perdana kurang mendapat perhatian peminat berbanding Liga Super.
"Apabila meneliti beberapa faktor, Megah Perawan menangguhkan hasrat untuk menaja pasukan PKNS FC.
"Sebagai sebuah syarikat, Megah Perawan mungkin perlu meneliti dari sudut keuntungan timbal balik hasil daripada penajaan berkenaan (jika diteruskan)," katanya.
Bagaimanapun sumber itu menegaskan, keputusan berkenaan diambil bukan atas faktor mereka tidak mampu menyediakan peruntukan tajaan.
Kini cuma produk wanita
Sementara itu, Pengarah Urusan Megah Perawan, Zack Aziry mengesahkan perkara itu.
Katanya, Megah Perawan belum bersedia sepenuhnya untuk meneruskan kerjasama dengan PKNS FC.
"Tetapi saya tidak menolak kemungkinan untuk menaja mereka pada masa akan datang apabila kita lebih bersedia dalam pelbagai aspek.
"Begitu juga di pihak PKNS FC, mereka merima keputusan ini secara terbuka danperbincangan kami sebelum ini lebih kepada sesi perkenalan antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi.
Zack berkata, sebagai badan korporat yang tiada pengalaman dalam penajaan sukan mereka mahu memperkemaskan dahulu kedudukan syarikat terutama melibatkan pengeluaran produk yang lebih sesuai.
"Produk-produk kami sekarang hanya melibatkan wanita dan saya lihat aspek pemasaran melalui tajaan kelab bola sepak kurang sesuai buat masa ini.
"Mungkin di masa akan datang, kami akan memperkenalkan produk kesihatan lelaki yang dapat memberi gambaran yang baik dari segi pemasaran dan sukan itu sendiri,” katanya.
Sumber : malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan