Selasa, 22 Disember 2015

Safuwan Baharuddin pemain import terbaru The Cops


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan pemain pertahanan Lions XII, Safuwan Baharuddin sebagai pemain import terbaharu bagi menguatkan cabaran skuad The Cops dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016.

Safuwan, penjaring 10 gol untuk Lions XII dari 2012-2015, akan bersama bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Andrezinho, Dramane Traore dari Mali, dan kapten pasukan kebangsaan Maldives, Ali Ashfaq bagi melengkapkan kuota empat pemain import.

Ketua jurulatih PDRM, Mohd. Fauzi Pilus mengesahkan Safuwan yang boleh beraksi di pertahanan dan tengah, menjadi pemain terbaharu pasukan itu selepas berjaya menyelesaikan isu kontraknya yang berbaki setahun dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

“Berikutan itu, kami terpaksa menggugurkan dua pemain import lain iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia) dan Jaime Braganca (Timor Leste) bagi mematuhi kuota pemain import,” katanya.

Beberapa media di Singapura baru-baru ini melaporkan Safuwan telah mengadakan rundi­ngan dengan PDRM, namun perlu mendapat pelepasan daripada FAS terlebih dahulu kerana masih mempunyai kontrak setahun.

PDRM sebelum ini berjaya menyambar khidmat bekas pemain import Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Andrezinho bagi memperkuatkan skuad The Cops untuk menghadapi saingan Liga-M 2016.

Safuwan, 24, yang pernah beraksi secara pinjaman selama tiga bulan bersama kelab Liga Australia, Melbourne City, awal tahun ini dikatakan menjadi sasaran PDRM berdasarkan persembahan cemerlangnya ketika mewakili Lions XII dalam saingan Liga-M musim ini.

Untuk rekod, PDRM sekadar menamatkan kempen mereka dalam Liga Super di tangga keenam selain kalah di pusingan awal Piala FA dan Piala Malaysia.

Liga-M 2015 merupakan penampilan terakhir Lions XII dalam kancah bola sepak tempatan setelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak melanjutkan perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama FAS pada 2011.

Sumber : Bernama


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget