Sabtu, 19 Disember 2015

Penyokong JDT Perlu Berfikir Guna Akal Bukan Emosi : TMJ

 
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa kecewa baginda terhadap segelintir penyokong kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menentang kemasukan seorang pemain Pahang ke dalam pasukan itu untuk musim depan.

Ini susulan daripada pengumuman tonggak utama Pahang, Azzamuddin Mohd Akil yang menyatakan keinginannya berubah angin dan sedang melakukan persediaan untuk bersaing merebut tempat di pasukan JDT.

Dalam status yang di muatkan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, baginda menyeru penyokong JDT untuk bersikap professional dengan pemilihan pemain yang telah dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu.

“Kualiti hidup kita ditentukan oleh kualiti pemikiran kita. Kita merupakan sebuah kelab bolasepak profesional, oleh itu, para penyokong juga perlu bersikap profesional.”

“Sebagai sebuah kelab bolasepak profesional, apabila kita memilih seseorang pemain, ianya bukanlah berdasarkan dari mana asal mereka, warna kulit mereka, tidak kiralah sama ada mereka berkulit putih, hitam, coklat, kuning ataupun biru.”

“Tidak kiralah daripada pasukan mana, negara, negeri atau daerah mana sekalipun. Kita sepatutnya menilai seseorang itu berdasarkan kelayakan dan pencapaian mereka.”

“Kita perlu menganalisa pemain tersebut untuk menilai peranan yang mampu mereka mainkan dan bagaimana mereka dapat mengukuhkan lagi pasukan” titah baginda.

Baginda menjelaskan bahawa ini adalah realiti sukan bola sepak dan seharusnya diterima dengan hati terbuka jika ianya dapat memperhebatkan lagi pasukan tersebut.

“Sekiranya saya, ketua jurulatih Mario Gomez, dan pasukan teknikal kita merasakan pemain tersebut boleh membantu melengkapkan pasukan, maka kita akan menerima beliau dengan hati terbuka.”

“Pemain dan jurulatih datang dan pergi, itulah bolasepak. Apa yang penting adalah polisi kita.”

“Saya menjelaskan perkara ini kerana saya mengambil berat dan ingin berkongsi pengalaman, walaupun saya seorang budak mentah.”

“Kepelbagaian dan melengkapi skuad adalah amat penting, kerana ianya mewujudkan persaingan di kalangan pemain untuk mereka merebut tempat masing-masing.”

“Apabila tiada yang berasa selesa, anda akan mempunyai skuad yang lebih mantap, kerana setiap pemain mahu memberikan prestasi terbaik” titah TMJ.

Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja PBNJ menyatakan polisi JDT masih kekal walaupun kemasukan pemain baru dari pasukan lain.

“Berkenaan kelab kita, apa yang penting adalah polisi kita sentiasa kekal, dan kita memberikan sokongan padu terhadapnya. Sekiranya kita berjaya, Alhamdulillah. Sekiranya gagal, memang tiada rezeki, berusaha lagi; dunia belum berakhir.”

Tegas Tunku Ismail, penyokong pasukan JDT seharusnya lebih berfikir secara rasional sebelum membuat sesuatu kenyatan.

“Jadi kepada para penyokong JDT yang dikasihi sekalian, kita perlu berfikir menggunakan akal dan bukannya emosi.”

“Kepada mereka yang pandai bercakap dan berpengalaman mengurus kelab bolasepak, esok (hari ini) pada sesi wawancara bersama penyokong, bolehlah anda mengajar saya mengurus kelab bolasepak dengan sepuas-puasnya” jelas baginda.

Sehubungan itu, satu sidang media memperkenalkan jurulatih baru JDT ll, barisan pemain JDT untuk musim 2016 dan sesi wawancara bersama penyokong bagi membincangkan perancangan serta hala tuju pasukan tersebut di Bilik Sidang Media, Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin jam 3.00 petang ini.

Sumber : johortimes.my

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget